MAPIM MENYOKONG LAPORAN PBB: HENTIKAN PENJAJAHAN ISRAEL SEKARANG!
March 16, 2025MENJELANG PRK AIR KUNING: AHLI POLITIK PERLU HORMATI BULAN RAMADHAN, JAGA PERTUTURAN DAN AKHLAK
March 17, 2025MAJLIS PERUNDINGAN PERTUBUHAN ISLAM MALAYSIA (MAPIM)
……………………………………..
KENYATAAN MEDIA
17 Mac 2025
MAPIM menyambut baik tindakan tegas pihak berkuasa dalam membanteras kartel penyewa tapak Bazar Ramadhan, yang selama ini telah menjejaskan peluang peniaga kecil dan menaikkan kos sewaan secara tidak adil.
Fenomena penguasaan tapak oleh pihak tertentu untuk mengaut keuntungan atas angin bukan sahaja menekan peniaga sebenar, malah bercanggah dengan semangat Ramadhan yang menekankan keadilan, kejujuran, dan kesejahteraan masyarakat.
KEBEBASAN BERNIAGA TANPA PENINDASAN
Peniaga kecil seharusnya mendapat hak yang adil untuk berniaga tanpa diperas oleh orang tengah dan sindiket yang memonopoli tapak. Tindakan membanteras kartel ini adalah langkah tepat dan perlu disokong, agar tapak bazar kembali kepada golongan yang benar-benar mahu mencari rezeki secara sah dan jujur.
MAPIM menegaskan bahawa tindakan ini juga sejajar dengan prinsip Islam yang menolak kezaliman ekonomi, penindasan terhadap golongan lemah, dan manipulasi pasaran.
TUNTUTAN MAPIM
MAPIM menggesa:
- Pihak berkuasa tempatan (PBT) memastikan pengurusan tapak lebih telus, tanpa unsur rasuah dan penyelewengan.
- Sistem pengagihan tapak perlu lebih adil dan berasaskan kelayakan, bukan kepada mereka yang memiliki hubungan dengan pihak tertentu.
- Pengenaan tindakan tegas terhadap kartel yang menyalahgunakan sistem, termasuk menyenaraihitam individu atau syarikat yang terlibat.
- Penguatkuasaan yang konsisten agar gejala ini tidak berulang setiap tahun.
MAPIM menyeru agar semua pihak, termasuk peniaga dan masyarakat, bersama-sama menolak aktiviti kartel yang merosakkan ekosistem perniagaan tempatan. Ramadhan adalah bulan keberkatan, dan kejujuran dalam perniagaan adalah sebahagian daripada keberkatan itu.
MAPIM menyokong usaha mewujudkan sistem yang lebih adil, telus, dan mesra peniaga kecil, agar rezeki yang diperoleh benar-benar halal dan berkat.
Dikeluarkan oleh:
Mohd Azmi Abdul Hamid
Presiden, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM)