MAPIM MENYERU PEMIMPIN PARTI POLITIK SEMALAYSIA DAN SEMUA AHLI PARLIMEN RENTAS PARTI UNTUK BERSATU NYATAKAN PENDIRIAN BERSAMA – KUTUK DAN BERTINDAK TEGAS TERHADAP ISRAEL
March 20, 2025DEKLARASI PARTI POLITIK DAN NGO SEMALAYSIA
March 23, 2025Bismillahirrahmanirrahim,
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, keluarga, para sahabat, dan seluruh umat yang memperjuangkan kebenaran.
- Malaysia Perlu Bersatu Hadapi Hegemoni Zionis dan Kuasa Barat
Dalam menghadapi ketidakadilan global yang semakin ketara, khususnya genosid yang sedang berlaku di Gaza, Tebing Barat, dan Lebanon Selatan, MAPIM menyeru semua pemimpin politik Malaysia agar mengetepikan perbezaan politik dan bersatu atas asas kemanusiaan, keadilan, dan kedaulatan ummah.
Hari ini, dunia menyaksikan Zionis Israel dengan sokongan Amerika Syarikat dan sekutu Barat terus melakukan jenayah perang terhadap rakyat Palestin. Serangan tanpa henti, sekatan ekonomi, dan pendudukan haram semakin menggila, sedangkan masyarakat antarabangsa masih gagal bertindak tegas.
Malaysia sebagai negara yang memperjuangkan hak asasi manusia dan keadilan sejagat mesti mengambil langkah lebih berani dan tegas dalam menentang kejahatan Zionis serta hegemoni Barat yang mempertahankan rejim apartheid Israel.
- Pemimpin Politik Malaysia Perlu Bersatu dan Berperanan Aktif
Sudah tiba masanya semua parti politik di Malaysia—tanpa mengira ideologi atau perbezaan fahaman—bersatu dalam pendirian tegas terhadap Zionis dan kezaliman Barat. Isu Palestin bukan sekadar isu agama, tetapi isu kemanusiaan sejagat yang menuntut keberanian dan ketegasan politik.
MAPIM menyeru agar semua wakil rakyat di Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri (DUN) bermuafakat menyokong usul khas menentang genosid Israel-Amerika Syarikat di Gaza, Tebing Barat, dan Lebanon Selatan. Ini adalah langkah penting untuk membuktikan kepada dunia bahawa Malaysia bertindak dan bukan sekadar bersuara.
Usul Perdana Menteri YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memecat Israel dari keanggotaan PBB amat wajar dan tepat. Israel tidak lagi layak diterima sebagai anggota PBB berdasarkan sikap dan tindakannya melanggar semua resolusi dan undang-undang antarabangsa , keputusan mahkamah dunia serta segala prinsip hak asasi manusia universal.
Usul ini perlu:
1.Mengecam secara rasmi jenayah perang Israel dan sekutunya di peringkat antarabangsa.
2.Mendesak kerajaan untuk menghantar nota bantahan rasmi kepada Majlis Keselamatan PBB, OIC, dan ASEAN.
3.Menggesa pemutusan hubungan dengan mana-mana syarikat dan entiti yang menyokong Israel.
4.Menggalakkan kerjasama lebih erat dengan negara-negara yang lantang menentang Israel, seperti Turkiye, Iran, dan negara-negara Amerika Latin.
- Kerjasama Antara Pemimpin Politik dan CSO/NGO
Perjuangan untuk memerdekakan Palestin sebagai sebuah negara berdaulat tidak boleh hanya bergantung kepada kerajaan dan pemimpin politik semata-mata. Peranan organisasi masyarakat sivil (CSO) dan NGO seperti MAPIM, amat penting dalam menggerakkan rakyat.
MAPIM menyeru agar:
- Pemimpin politik bekerjasama dengan CSO dan NGO untuk menyusun strategi bersepadu dalam memperjuangkan hak Palestin. Setiap wakil rakyat Ahli Parlimen dan ADUN mesti mengembleng rakyat di kawasan masing-masing untuk menyatakan solidariti kepada perjuangan membebaskan Palestin.
- Memberi ruang lebih luas kepada rakyat untuk bersuara dan terlibat dalam perjuangan membela Palestin, termasuk melalui himpunan aman, kempen boikot, dan tekanan diplomatik.
- Menggalakkan media nasional memainkan peranan lebih besar dalam menyebarkan maklumat benar mengenai situasi Palestin bagi memastikan rakyat lebih peka dan bersatu dalam perjuangan ini.
- Kerjasama ini bukan sahaja akan memperkukuh sokongan rakyat terhadap perjuangan Palestin, tetapi juga memperlihatkan kepada dunia bahawa Malaysia benar-benar komited dalam memperjuangkan keadilan sejagat.
4.Solidariti Malaysia: Dari Rhetorik ke Tindakan Nyata
MAPIM mengingatkan bahawa masyarakat dunia sedang memerhati apakah Malaysia benar-benar serius dalam pendiriannya terhadap Palestin atau sekadar mengeluarkan kecaman tanpa tindakan konkrit. Oleh itu, kita perlu bergerak dari sekadar retorik kepada strategi yang lebih berkesan, antaranya:
- Menganjurkan boikot nasional terhadap syarikat yang menyokong ekonomi Zionis.
- Mendesak institusi kewangan dan pelaburan Malaysia agar tidak terlibat dengan syarikat yang mempunyai kaitan dengan Israel.
- Mengukuhkan hubungan dengan negara-negara yang menyokong perjuangan Palestin dan menentang imperialisme Barat.
- Memperkasa media dan gerakan rakyat untuk menyedarkan masyarakat tentang hakikat sebenar kezaliman Zionis.
- Malaysia tidak boleh bersikap pasif dalam isu ini. Kita perlu menjadi pemimpin dalam gerakan global menentang penindasan dan kezaliman.
Kesimpulan:
Malaysia Perlu Menjadi Suara Keadilan Dunia
Dalam suasana dunia yang semakin tidak adil, Malaysia tidak boleh menjadi negara yang pasif atau neutral dalam isu penindasan global. Kita perlu menjadi pemimpin dalam perjuangan keadilan antarabangsa, bukan hanya dalam isu Palestin tetapi dalam menentang ketidakadilan global secara keseluruhan.
Sebagai umat Islam dan rakyat Malaysia yang bermaruah, kita bertanggungjawab menjadi benteng dalam mempertahankan hak mereka yang dizalimi. Inilah masa untuk semua pemimpin politik Malaysia membuktikan kesatuan dan keikhlasan dalam memperjuangkan isu sejagat.
Kita tidak boleh kalah dengan agenda Zionis dan kuasa Barat yang mahu melemahkan negara-negara Islam dan negara membangun.
Bersama kita berdiri untuk Palestin, keadilan, dan kedaulatan dunia yang lebih adil.
Allahu Akbar! Hidup Palestin! Hidup Keadilan!
Mohd Azmi Abdul Hamid
Presiden MAPIM
22 Ramadhan 1446 / 23 Mac 2026