MAPIM REBUKES THE INCONSISTENCIES OF THE BOARD OF DEPUTIES OF BRITISH JEWS ON PALESTINIAN STATEHOOD
September 2, 2025KENYATAAN PRESIDEN MAPIM4hb September 2025
September 4, 2025DIKALA KAMI SAMBUT KEMERDEKAAN, JAKARTA BANGKIT KEMARAHAN
Mohd Azmi Abdul Hamid
3 September 2025
Dikala kami sambut kemerdekaan,
jalan-jalan dipenuhi warna merah putih,
bendera berkibar di tiang besi dan bambu,
anak-anak melukis wajah pahlawan
di dinding sekolah yang retak catnya.
Di pentas, lagu kebangsaan bergema,
suara serak bercampur sorak,
dan keringat para petugas
menjadi saksi sebuah negara
yang menuntut untuk terus dikenang.
Namun di Jakarta,
gelombang manusia bergerak bagai ombak,
menyapu jalan raya dengan teriakan,
membawa amarah yang lama terpendam.
Di balik bendera yang berkibar,
ada perut yang kosong,
ada rumah yang hanyut oleh banjir,
ada nasib yang terbiar.
Kemerdekaan, kata kami,
adalah anugerah yang disulam pengorbanan.
Namun bagi mereka yang terdesak,
ia bagai janji yang masih tergantung,
tiada roti di meja, tiada susu di cawan,
tiada cahaya menerangi malam.
Dikala kami sambut kemerdekaan,
Jakarta bangkit kemarahan.
Kota itu berteriak—
bukan kerana benci pada tanah air,
tetapi kerana cinta yang dilukai,
kerana harapan yang dikhianati.
Kami bersorak di bawah kembang api,
mereka menjerit di bawah gas pemedih mata.
Kami menyanyi merdeka,
mereka bertanya: di mana makna merdeka?
Ah, merdeka bukan sekadar tarikh
yang diulang di kalendar bangsa,
bukan sekadar perarakan tentera
atau pidato di layar kaca.
Merdeka adalah harga beras yang mampu dibayar,
merdeka adalah sekolah tanpa bayaran,
merdeka adalah hospital tanpa penolakan,
merdeka adalah suara rakyat
yang tidak disenyapkan oleh baton kuasa.
Dikala kami sambut kemerdekaan,
Jakarta bangkit kemarahan.
Moga satu hari nanti,
perayaan dan amarah bertemu
dalam satu makna:
keadilan yang nyata,
kesejahteraan yang adil,
kemerdekaan yang benar-benar merdeka.