MAPIM CALLS FOR ASEAN HUMANITARIAN RELIEF FOR AFGHANISTAN EARTHQUAKE
September 4, 2025MAULIDUR RASUL
September 4, 2025Sempena Maulidur Rasul 1447H / 2025
Oleh
Mohd Azmi Abdul Hamid
12 Rabiul Awal 1447
5hb September 2025
Ya Rasulullah, Kekasih Allah,
Cahaya rahmat penutup risalah,
Engkau membawa kebenaran yang indah,
Untuk manusia, untuk seluruh ummah.
Kami menyebut namamu dengan cinta,
Namun amal kami masih penuh alpa,
Kami mengaku engkau junjungan mulia,
Tetapi umatmu terbiar derita.
Di Gaza umatmu bermandi darah,
Anak kecil gugur, rumah musnah,
Dunia membisu, lidah pun pasrah,
Sedang engkau ajar teguh bermunajat tabah.
Al-Aqsa tercinta diinjak nista,
Qiblat pertama ditawan durjana,
Kami membisu tiada upaya,
Maruah ummah tergadai hina.
Di Uyghur umatmu terikat derita,
Dipenjara, dipaksa tinggalkan aqidahnya,
Kami hanya memandang dari jauh sahaja,
Ampuni kami wahai Rasul tercinta.
Di Arakan umatmu terhimpit sengsara,
Tersadai di lautan mencari sisa nyawa,
Sedang engkau pesan kita bersaudara,
Namun kami lalai, hati beku tanpa rasa.
Afghanistan goncang bumi berdarah,
Bangunan runtuh, jasad rebah,
Anak kecil mencari ibu yang musnah,
Apakah kami tidak lagi punya maruah?
Betapa satu persatu negara Islam dihancurkan,
Dari Iraq, Syria hingga Sudan,
Darah tertumpah, umat terkorban,
Namun kami diam tanpa pertahanan.
Benar ingatanmu wahai Nabi,
Kami bagaikan buih di lautan sepi,
Bilangan ramai tiada bererti,
Kerana cinta dunia mengikat hati.
Pemimpin umat khianat janji,
Mengejar kuasa, menipu hati,
Munafik bermain dusta sendiri,
Umat terpedaya, sengsara tak henti.
Musuh menabur fitnah sengketa,
Umat terpecah tiada setia,
Kami membiar mereka bermaharajalela,
Sedang engkau ajar bersatu padu sentiasa.
Khutbah Wida’ engkau wasiatkan,
Hak darah dan harta dipelihara aman,
Namun kami lupakan pesanan,
Hingga umat terhina dalam kekacauan.
Ya Rasulullah, maafkan kami,
Membiarkan ummatmu dihunus pedang zalimi,
Sedang engkau dahulu menangis di malam sunyi,
Kerana takutkan umatmu disiksa nanti.
Kami ulangi selawat dengan lidah,
Namun amalnya jauh dari ibadah,
Engkau ajar kasih, engkau ajar jihad,
Tapi kami leka, hanyut dalam dunia yang sesat.
Ya Rasulullah, saksikanlah janji kami,
Sempena Maulid ini, kami ikrarkan hati,
Untuk bangkit bersama dengan berani,
Mengangkat panji ummah kembali.
Kami mahu meneruskan risalahmu,
Menyambung sunnah dan perjuanganmu,
Menjadi saksi kebenaran sepertimu,
Agar Islam kembali dipandang syahdu.
Selawat dan salam kami hadiahkan,
Ke atasmu junjungan, penutup sekalian,
Moga syafaatmu di hari perhitungan,
Menyelamatkan kami dari kehinaan.
Ya Rasulullah, maafkan kami…
Umatmu berjanji akan kembali,
Menegakkan amanah, membela hak insani,
Demi cintakanmu, demi redha Ilahi.