Jika Ini Ramadhan Ku Yang Terakhir
February 18, 2026Madrasah Ramadhan: Aku Datang Dengan Seribu Harapan
February 19, 2026Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Malaysian Consultative Council of Islamic Organizations) – MAPIM
Space U8 , Eco Mall , Bukit Jelutong , Shah Alam , Selangor Malaysia
azmiabdulhamid58@gmail.com
………………………………………
KENYATAAN MEDIA
18hb Februari 2026
HORMATI RAMADHAN MUBARAK
PELIHARA AKHLAK DAN ADAB
Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menyeru semua pihak agar meredakan ketegangan politik dan menghentikan budaya tuduh menuduh yang semakin membimbangkan, khususnya ketika umat Islam sedang memasuki bulan suci Ramadhan Al Mubarak.
Ramadhan adalah bulan tarbiah ruhiyyah yang menuntut kesabaran, keikhlasan, kawalan emosi dan ketinggian akhlak. Justeru suasana polemik politik yang keras, provokatif dan berunsur permusuhan tidak selari dengan roh Ramadhan yang membawa mesej kedamaian dan penyucian jiwa.
MAPIM menegaskan bahawa perbezaan pandangan politik adalah lumrah dalam sistem demokrasi, namun ia mesti diurus dengan adab, fakta dan rasa tanggungjawab terhadap keharmonian masyarakat. Tuduhan yang tidak berasas, serangan peribadi serta retorik yang mengapi apikan sentimen hanya akan merosakkan perpaduan rakyat dan menjejaskan kestabilan negara.
Dalam bulan yang mulia ini, semua pihak termasuk pemimpin politik, penyokong parti dan masyarakat umum wajar mengambil peluang untuk memperkukuh nilai kesederhanaan, saling menghormati dan berlapang dada.
Ramadhan bukan sahaja ibadah individu, tetapi juga ruang membina masyarakat yang lebih matang dan berakhlak.
MAPIM turut menyeru agar media sosial digunakan secara berhemah dengan mengelakkan penyebaran fitnah, provokasi dan kenyataan yang boleh mencetuskan ketegangan.
Akhlak dalam berbeza pandangan perlu dipelihara demi kepentingan negara dan kesejahteraan rakyat.
Semangat Ramadhan seharusnya mendorong kita untuk mendahulukan perdamaian, mengutamakan kepentingan rakyat dan membina suasana harmoni dalam masyarakat.
Negara memerlukan kestabilan dan kesatuan, bukan perpecahan yang berpanjangan.
MAPIM berharap bulan yang penuh keberkatan ini menjadi medan memperbaiki hubungan, meredakan konflik dan memperkukuh nilai kemanusiaan dalam kehidupan bermasyarakat.
Mohd Azmi Abdul Hamid
Presiden
Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM)

