IRAN’S RIGHT OF DEFENCE, TERRITORIAL SOVEREIGNTY AND SELF-DETERMINATION ARE UNDISPUTABLE
March 9, 2026EPIC FURY : A WAR OF CHOICE
March 10, 2026KENYATAAN MEDIA
10 Mac 2026
Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia menegaskan bahawa dalam menghadapi perkembangan geopolitik semasa, khususnya serangan ketenteraan terhadap Republik Islam Iran, umat Islam perlu kembali kepada panduan al Quran dan Sunnah serta mengelakkan daripada terjerumus ke dalam konflik dalaman yang melemahkan kekuatan ummah.
Dalam sebuah hadis sahih, Rasulullah SAW telah menyebut mengenai kelebihan kaum Parsi dalam konteks keimanan dan keilmuan. Baginda SAW bersabda:
“Seandainya keimanan itu berada di tempat yang sangat tinggi seperti gugusan bintang Ath Thurayya, nescaya seorang lelaki dari kalangan bangsa Parsi akan mencapainya.”
(Hadis Sahih Muslim, no. 2546)
Hadis ini sering dikaitkan oleh para ulama dengan penjelasan terhadap firman Allah SWT dalam Surah al Jumuah ayat 3 yang bermaksud:
“Dan juga kepada orang orang lain dari mereka yang masih belum menyertai mereka. Dan Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.”
Dalam riwayat Sahih al Bukhari, ketika ayat ini dibacakan oleh Rasulullah SAW, para sahabat bertanya siapakah yang dimaksudkan dengan “orang orang lain” tersebut. Setelah pertanyaan itu diulang beberapa kali, Baginda SAW meletakkan tangannya di bahu sahabat Salman al Farisi dan menyatakan bahawa jika iman berada di tempat yang sangat jauh sekalipun, orang dari bangsa Parsi akan mencapainya.
MAPIM berkongsi peringatan ini kerana dalam beberapa hari kebelakangan ini dunia dikejutkan dengan perkembangan yang amat membimbangkan iaitu serangan ketenteraan oleh rejim Zionis Israel yang disokong oleh Amerika Syarikat terhadap Iran. Keadaan ini turut disusuli dengan berita kematian tokoh utama Iran, Ayatollah Ali Khamenei, yang dilaporkan terbunuh pada 11 Ramadhan 1447 Hijrah bersamaan 28 Februari 2026.
Namun apa yang lebih membimbangkan ialah munculnya perbahasan dan provokasi dalam kalangan sebahagian masyarakat yang cuba membangkitkan permusuhan antara Sunni dan Syiah pada saat umat Islam sedang berhadapan dengan ancaman luar yang serius.
MAPIM menegaskan bahawa konflik Sunni dan Syiah bukanlah perkara baharu dalam sejarah Islam. Ia telah melalui proses sejarah yang panjang sejak zaman awal pemerintahan Islam.
Namun begitu, menjadikan perbezaan tersebut sebagai alasan untuk menyokong serangan dan penjajahan terhadap sebuah negara Islam adalah sesuatu yang sangat berbahaya dan tidak bertanggungjawab.
Hakikatnya, di Iran sendiri masih wujud komuniti Sunni yang hidup sebagai sebahagian daripada masyarakat negara tersebut. Pada masa yang sama rakyat Iran secara keseluruhannya terus menentang sebarang bentuk penjajahan, pencerobohan dan dominasi kuasa luar.
MAPIM juga mengingatkan bahawa dalam sejarah umat Islam, banyak usaha telah dilakukan oleh pihak tertentu untuk menanam benih perpecahan dalam kalangan umat Islam. Naratif perpecahan sering dimanipulasi oleh musuh bagi melemahkan kesatuan umat.
Sejarah menunjukkan bahawa strategi “pecah dan perintah” sentiasa digunakan oleh kuasa imperialis bagi memecahbelahkan umat Islam supaya mereka mudah dikuasai.
Oleh itu MAPIM menyeru umat Islam supaya menumpukan perhatian kepada ancaman sebenar yang sedang berlaku iaitu penjajahan, pencerobohan dan keganasan yang dilakukan oleh rejim Zionis.
Dalam realiti geopolitik hari ini, Iran merupakan antara negara yang secara konsisten menentang dominasi Zionis dan hegemoni kuasa besar yang menindas rakyat Palestin dan negara negara lain di rantau tersebut.
Dalam bulan Ramadhan yang mulia ini, MAPIM juga mengingatkan umat Islam kepada firman Allah SWT dalam Surah Ali Imran ayat 103:
” Dan berpegang teguhlah kamu semuanya kepada tali Allah dan janganlah kamu bercerai berai.”
Ayat ini merupakan peringatan yang amat penting kepada umat Islam agar tidak terperangkap dalam perpecahan yang hanya akan menguntungkan musuh.
MAPIM menyeru rakyat Malaysia dan juga pihak kerajaan supaya menilai perkembangan antarabangsa dengan pemikiran yang kritis dan berprinsip. Umat Islam tidak boleh mudah terpedaya dengan naratif propaganda atau janji janji manis yang dimainkan oleh kuasa besar yang mempunyai agenda geopolitik tertentu.
Sebaliknya, umat Islam perlu kembali kepada prinsip keadilan, perpaduan dan keberanian mempertahankan kedaulatan serta maruah umat.
Pada saat umat Islam berhadapan dengan pelbagai cabaran global, perpaduan dan kebijaksanaan dalam membaca situasi dunia menjadi lebih penting daripada sebelumnya.
Mohd Azmi Abdul Hamid
Presiden
MAPIM (Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia)
Dato Wira Ustaz Abdul Ghani Samasudin
Chairman SHURA

