Regime Change Gagal, Amerika Terperangkap, Israel Semakin Rapuh
March 14, 2026MENERUSKAN SUBSIDI MINYAK : RAKYAT PERLU FAHAM BAGAIMANA PASARAN MINYAK DUNIA MEMBERI KESAN KEPADA NEGARA
March 14, 2026Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Malaysian Consultative Council of Islamic Organizations) – MAPIM
Space U8 , Eco Mall , Bukit Jelutong , Shah Alam , Selangor Malaysia
azmiabdulhamid58@gmail.com
………………………………………
Kenyataan Media
Kuala Lumpur | 14 Mac
2026
MAPIM memandang serius perkembangan geopolitik di Asia Barat yang semakin meruncing akibat konflik ketenteraan yang berterusan.
Ketegangan dan peperangan di rantau tersebut telah memberi kesan langsung kepada pasaran tenaga global apabila harga minyak mentah dunia kini melongjak melebihi USD100 setong.
Lonjakan harga minyak ini memberi kesan langsung kepada ekonomi negara negara yang bergantung kepada import tenaga serta kepada kestabilan harga bahan api domestik.
Apabila harga minyak dunia meningkat, kos sebenar bahan api dalam negara turut meningkat dan kerajaan perlu menanggung subsidi yang besar bagi memastikan rakyat tidak menanggung sepenuhnya kesan kenaikan tersebut.
Bagi tahun 2026, perbelanjaan subsidi bahan api negara dianggarkan melebihi USD2 bilion sebulan, bersamaan sekitar USD24 bilion setahun, sekiranya harga minyak dunia kekal tinggi atau terus meningkat akibat konflik geopolitik yang berpanjangan.
Jumlah ini menunjukkan komitmen besar kerajaan dalam memastikan harga bahan api domestik kekal stabil bagi melindungi rakyat daripada kejutan ekonomi global.
Tanpa subsidi tenaga, kenaikan harga minyak dunia akan memberi kesan rantaian kepada seluruh ekonomi negara. Kos pengangkutan meningkat, harga makanan dan barangan asas melonjak, kos operasi industri bertambah dan tekanan inflasi akan dirasai oleh semua lapisan masyarakat, khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
Dalam konteks ini, subsidi tenaga berfungsi sebagai penampan ekonomi negara yang melindungi rakyat daripada ketidaktentuan pasaran tenaga dunia.
MAPIM juga menegaskan bahawa rakyat perlu memahami bahawa harga minyak dalam negara tidak ditentukan sepenuhnya oleh faktor domestik. Ia dipengaruhi oleh konflik geopolitik global, keputusan pengeluaran negara pengeluar minyak, sekatan ekonomi antarabangsa serta ketegangan ketenteraan yang boleh menjejaskan bekalan tenaga dunia.
Perkembangan perang di Asia Barat hari ini menunjukkan bahawa kestabilan pasaran tenaga global semakin rapuh. Setiap konflik di rantau tersebut boleh memberi kesan besar kepada harga minyak dunia dan akhirnya memberi tekanan kepada ekonomi negara negara lain termasuk Malaysia.
Oleh itu, MAPIM menyeru agar perbincangan mengenai subsidi bahan api dilihat dalam kerangka yang lebih luas dan strategik. Dalam keadaan dunia yang semakin tidak stabil, dasar yang melindungi kesejahteraan rakyat serta kestabilan ekonomi negara mesti terus menjadi keutamaan.
Pada masa yang sama, negara juga perlu memperkukuh strategi jangka panjang untuk mengurangkan kebergantungan kepada turun naik harga minyak dunia melalui peningkatan kecekapan tenaga, pembangunan sumber tenaga alternatif dan pengukuhan sistem pengangkutan awam.
Mohd Azmi Abdul Hamid
Presiden
Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM)

