MILITARISASI DAN PERSENJATAAN EKONOMI:MALAYSIA PERLU BERSEDIA MENGHADAPI SENARIO TERBURUK
March 12, 2026PERANG ASIA BARAT MELONJAK HARGA MINYAK MELEBIHI USD100 : SUBSIDI TENAGA TERUS MENJADI PERISAI MELINDUNGI RAKYAT
March 14, 2026Mohd Azmi Abdul Hamid
President Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia
13 hb Mac 2026
Perang ke atas Iran kini semakin menyingkap satu realiti yang sukar disembunyikan. Objektif besar untuk melemahkan atau menjatuhkan sistem kuasa di Tehran masih gagal dicapai, walaupun serangan Amerika dan Israel sudah berlangsung secara intensif lebih q0 hari .
Penilaian perisikan Amerika sendiri menunjukkan kepimpinan Iran masih utuh dan tidak berada di ambang keruntuhan dalam masa terdekat. Ini bermakna perang ini setakat ini gagal menghasilkan kemenangan politik yang dijanjikan.
Lebih membimbangkan, perang ini kelihatan semakin menyerupai perang yang dimulakan tanpa pelan keluar yang meyakinkan. Di satu pihak, Presiden Donald Trump mendakwa perang itu “very complete” dan kemudian berkata ia akan berakhir tidak lama lagi. Namun pada masa yang sama, pentadbirannya masih belum memberikan gambaran jelas tentang tempoh sebenar perang, sasaran penamatnya, atau formula politik untuk menutup konflik ini dengan kemenangan yang boleh dipertahankan.
Percanggahan antara dakwaan kemenangan dan keperluan untuk terus membiayai perang menunjukkan Washington sedang bercakap tentang penamatan, tetapi bertindak seolah olah perang ini baru memasuki fasa yang lebih berat.
Kos perang itu sendiri menjadi bukti paling nyata bahawa Amerika sedang terperangkap.
Reuters melaporkan pentadbiran Trump menganggarkan kos dua hari pertama perang sahaja sudah mencecah AS$5.6 bilion. Laporan susulan pula menyatakan Pentagon memaklumkan kepada anggota Kongres bahawa kos dalam enam hari pertama telah melebihi AS$11.3 bilion, dan angka sebenar mungkin lebih tinggi kerana sebahagian besar kos lain belum pun diambil kira sepenuhnya.
Jika angka AS$11.3 bilion dalam enam hari itu dipecahkan, kosnya menghampiri AS$1.88 bilion sehari, sekitar AS$78 juta sejam, dan lebih AS$21,000 sesaat.
Ini jauh melepasi gambaran umum bahawa perang itu menelan “hampir AS$1 bilion sehari”. Ertinya, berbilion bilion dolar wang rakyat Amerika sedang dibakar dalam konflik yang matlamat akhirnya sendiri masih kabur.
Dalam keadaan rakyat Amerika terus berdepan tekanan ekonomi domestik, perang ini semakin kelihatan sebagai lubang hitam fiskal yang sukar dijustifikasi.
Lebih tajam daripada itu, Pentagon kini dikatakan sedang meneliti keperluan tambahan sekitar AS$50 bilion untuk mengganti senjata yang digunakan dan menampung operasi selanjutnya.
Rumah Putih juga telah menekan syarikat syarikat pertahanan utama supaya mempercepat pengeluaran selepas serangan ke atas Iran mengurangkan stok senjata Amerika. Ini menunjukkan hakikat yang tidak boleh disorok:
Amerika bukan sedang menutup perang ini, tetapi sedang mencari lebih banyak wang dan lebih banyak senjata untuk meneruskannya.
Semua ini berlaku ketika bajet pertahanan Amerika sendiri sudah pun berada pada paras hampir AS$1 trilion setahun. Akta Kebenaran Pertahanan Nasional fiskal 2026 membenarkan AS$901 bilion perbelanjaan ketenteraan tahunan, satu jumlah rekod.
Maka timbul persoalan yang sangat wajar: jika bajet pertahanan sudah begitu besar, mengapa perang ini masih menuntut puluhan bilion dolar tambahan dalam masa yang begitu singkat, dan ke mana sebenarnya wang ini terus disalurkan.
Satu lagi petanda bahawa Amerika sedang terperangkap ialah perang ini tidak lagi kelihatan sebagai operasi singkat yang terkawal, tetapi sudah merebak menjadi krisis serantau yang menjejas keselamatan Amerika sendiri di Teluk.
Reuters melaporkan sumber dan penganalisis Teluk melihat negara negara pengeluar minyak di rantau itu sebagai pihak yang menanggung harga sebenar perang.
Kegelisahan itu menunjukkan bahawa hubungan keselamatan yang dibina selama puluhan tahun, dengan Amerika sebagai pelindung utama, kini sedang diuji secara langsung oleh serangan Iran ke atas aset serantau, laluan tenaga, dan kepentingan strategik yang selama ini dianggap terlindung.
Dalam konteks ini, dakwaan bahawa pangkalan, radar, depot logistik, dan aset ketenteraan Amerika di Bahrain, Qatar, Saudi, Kuwait, dan UAE kini terdedah kepada kemusnahan bukan lagi sesuatu yang boleh dipandang ringan.
Sumber Reuters mengesahkan bahawa perang telah membawa ancaman nyata kepada pangkalan Amerika dan infrastruktur kritikal di rantau Teluk. Sebuah radar Amerika bernilai AS$1 bilion dimusnahkan oleh misil Iran,
Dari sudut politik perang, satu hakikat yang semakin memalukan Washington ialah perang ini tidak menunjukkan tanda bahawa US-Israel akan benar benar menang dalam pengertian strategik.
Jika matlamatnya ialah menjatuhkan kepimpinan Iran, itu jelas gagal
Jika matlamatnya ialah mematahkan daya tindak balas Iran, itu juga belum terbukti. Jika matlamatnya ialah memulihkan “deterrence” Israel, realitinya perang ini telah menunjukkan bahawa Iran masih mampu menaikkan kos yang sangat tinggi ke atas Israel, Amerika, dan seluruh rantau.
Ini menjadikan dakwaan kemenangan semakin kelihatan sebagai naratif politik, bukan keputusan strategik yang mantap.
Tambahan pula, perang ini semakin mempamerkan paradoks besar Amerika. Trump mengisytiharkan bahawa “we won” dan menggambarkan Iran seolah olah hampir lumpuh sepenuhnya. Tetapi pada masa yang sama, Reuters melaporkan beliau juga mengakui Amerika akan terus kekal dalam peperangan itu untuk “finish the job”, sedangkan pentadbirannya sendiri sedang menilai pembiayaan baharu, mempercepat pengeluaran senjata, dan berdepan keraguan di Kongres tentang perang terbuka tanpa hujung.
Ini bukan gambaran sebuah kuasa yang menang dengan yakin. Ini gambaran sebuah kuasa yang cuba menjual kemenangan sambil bergelut mencari jalan keluar.
Reuters melaporkan perang ini sudah membawa pertembungan diplomatik terbuka antara Amerika dan sekutunya dengan Russia serta China di PBB berhubung isu Iran. Secara pasti bahawa kedua dua kuasa itu sedang memberi bantuan intelijens operasi secara langsung kepada Iran memerlukan bukti yang lebih kukuh daripada laporan terbuka yang ada sekarang. Dalam konteks persaingan kuasa besar yang semakin jelas, belum boleh dibuktikan
Lalu, apakah makna semua ini terhadap masa depan Israel?
Masa depan Israel kemungkinan besar bukan keruntuhan serta merta, tetapi pelemahan strategik yang berpanjangan. Israel mungkin masih mempunyai kekuatan ketenteraan, teknologi tinggi, dan sokongan Barat.
Namun perang ini menunjukkan bahawa keupayaannya untuk memaksakan dominasi dengan kos yang rendah semakin terhakis. Jika Iran terus membuktikan bahawa ia mampu bertahan, menyerang balas, dan memanjangkan perang sehingga Amerika sendiri dibebani dari segi kewangan, logistik, dan politik, maka Israel akan muncul dari konflik ini bukan sebagai kuasa yang lebih selamat, tetapi sebagai negara yang lebih rapuh, lebih mahal untuk dipertahankan, dan lebih bergantung kepada Amerika yang sendiri semakin keletihan.
Kesimpulannya jelas. Regime change gagal. Amerika terperangkap dalam perang yang didorong oleh Israel tanpa pelan keluar yang jelas. Israel pula semakin menunjukkan tanda kelemahan strategik walaupun masih mampu memusnahkan. Apabila sebuah perang gagal mencapai objektif politiknya, memakan berbilion dolar sehari, menghakis stok senjata, menggoncang pangkalan dan aset serantau, serta memaksa kuasa besar terus meminta dana tambahan untuk meneruskannya, itu bukan tanda kemenangan. Itu tanda bahawa perang tersebut sedang memakan tuannya sendiri.

