MAPIM MENGINGATKAN: MENYANTUNI RAKYAT KECIL – TUGAS TERPENTING WAKIL RAKYAT
September 2, 2025MAPIM CONDEMNS YET ANOTHER IOF BARBARIC COLD-BLOODED MURDER IN GAZA
September 2, 2025MENYANTUNI RAKYAT KECIL
Oleh Cikgu Azmi
Rakyat kecil bukan sekadar angka,
Bukan sekadar undi yang ditadah kala pilihan raya,
Mereka adalah denyut nadi bangsa,
Jerih payah mereka adalah tiang negara.
Di lorong sempit, di ladang terbakar,
Di sawah padi, di kilang berdengung siang malam,
Tangan kasar, wajah letih penuh harapan,
Menunggu belas ehsan pemimpin yang berjanji dalam amanat.
Wahai wakil rakyat,
Jangan tersilau cahaya kuasa,
Jangan terpesona kilau harta,
Kerana amanahmu tertulis di wajah anak kecil lapar,
Di mata ibu yang menadah doa dalam sujud panjang.
Rakyat kecil mengangkatmu ke puncak,
Bukan untuk engkau bermegah,
Tetapi untuk engkau menyantuni,
Menjadi perisai, menjadi penawar, menjadi sandaran.
Ingatlah—
Seorang petani yang menoreh di subuh gelap,
Seorang nelayan yang menebar jala di laut gelora,
Seorang pekerja yang menahan lapar demi keluarga,
Merekalah sebenar-benar guru demokrasi kita.
Menyantuni rakyat kecil adalah tugas utama,
Adalah ibadah, adalah maruah,
Kerana kuasa hanyalah pinjaman,
Tetapi doa rakyat—
Ia kekal, ia sampai ke langit,
Mengadili kita di hadapan Tuhan.

