INDIA: KEMPEN KEBENCIAN ANTI MUSLIM SEMAKIN MEMBURUK, INTERVENSI ANTARABANGSA PERLU MENGHENTIKAN PENINGKATAN PELANGGARAN HAK ASASI MANUSIA
December 24, 2025MAPIM: A Call for Humanity, Justice and DignityMessage from the President Welcoming 2026
January 1, 2026Oleh: Mohd Azmi Abdul Hamid, Presiden MAPIM
Derita umat Islam pada era kontemporari bukan lagi fenomena pinggiran yang boleh dijelaskan dengan naratif moral individu atau kelemahan rohani semata mata. Ia adalah hasil sejarah panjang ketidakadilan, peperangan, eksploitasi, kemiskinan struktural dan sistem ekonomi global yang mengutamakan keuntungan berbanding manusia. Dalam konteks ini, dakwah tidak wajar terus terperangkap dalam ruang retorik ritual yang sempit. Ia perlu mengambil langkah berani untuk memasuki wilayah kritikal: membina dan memperjuangkan ekonomi manusiawi sebagai asas pembebasan umat.
Sejak beberapa dekad lalu, umat Islam di seluruh dunia berdepan realiti yang hampir seragam walaupun latar geografinya berbeza. Di Palestin, Syria, Sudan, Somalia dan Yaman, peperangan dan penjajahan telah memusnahkan struktur sosial serta mengheret generasi demi generasi ke dalam lingkaran kemiskinan dan trauma. Di Malaysia, Indonesia, Bangladesh dan negara negara Asia Selatan, ketidaksamarataan pendapatan semakin melebar, manakala peniaga kecil dan pekerja bawahan terus bergelut dalam sistem pasaran yang meminggirkan mereka. Dalam masa yang sama, kapitalisme neoliberal—yang berakar daripada ideologi pasaran bebas Barat—menggambarkan kejayaan ekonomi sebagai hasil kerja keras individu, sedangkan ia secara asas menutup peranan struktur yang menindas dan eksploitasi global yang menguntungkan hanya segelintir elit.^1
Sistem neoliberal menuhankan pasaran dan menjadikan manusia objek ekonomi. Manusia dinilai mengikut produktiviti semata mata, dan masyarakat diukur dengan angka pertumbuhan ekonomi tanpa mempertimbangkan keadilan sosial. Di bawah sistem ini, harta menumpu kepada minoriti super kaya, sementara majoriti hidup dalam kerentanan. Fenomena ini sejajar dengan amaran al Quran supaya “harta tidak hanya beredar dalam kalangan orang kaya antara kamu” (al Hashr 59:7), menunjukkan bahawa ketidaksamarataan bukanlah sesuatu yang boleh dilihat neutral, tetapi suatu bentuk kezaliman yang menyalahi maqasid syariah.^2
Dalam era globalisasi ini, struktur ekonomi antarabangsa menjerat banyak negara Muslim kepada kebergantungan hutang, pemaksaan dasar ekonomi yang memihak kepada korporat antarabangsa, dan eksploitasi sumber alam. Negara yang kaya sumber seperti Sudan dan Libya tetap miskin kerana hasil negara mengalir keluar ke tangan syarikat asing dan kuasa besar.^3 Malah, perang di Timur Tengah dan Afrika bukan sekadar konflik politik; ia merupakan projek ekonomi rampasan. Di Palestin, misalnya, penguasaan tanah, air dan sumber alam dilakukan melalui instrumen ekonomi yang melengkapi kekerasan ketenteraan.^4 Keadaan ini menjelaskan bahawa derita umat mempunyai akar struktural yang lebih dalam daripada sekadar isu spiritual.
Dalam kerangka inilah ekonomi manusiawi perlu dilihat sebagai agenda dakwah kontemporari. Dakwah Islam bersifat syumul, mencakupi urusan akidah, akhlak, masyarakat dan keadilan sosial. Namun seringkali dakwah diinstitusikan dalam bentuk ceramah, kuliah, seminar dan nasihat moral tanpa menyentuh struktur ekonomi yang menzalimi masyarakat. Dakwah sebegini gagal menjawab persoalan besar umat dan tidak membina alternatif terhadap sistem yang menginjak maruah manusia. Dalam sejarah Islam, Nabi Muhammad SAW mendirikan negara Madinah bukan sekadar mengajar ibadah tetapi membina struktur ekonomi yang adil, termasuk penyusunan pasar bebas riba, larangan monopoli, dan perlindungan terhadap golongan mustadhafin.^5
Ekonomi manusiawi menekankan hubungan langsung antara tauhid dan keadilan. Tauhid mengajar bahawa tiada yang layak disembah selain Allah; oleh itu manusia tidak boleh diperhambakan oleh pasaran, modal atau korporat.^6 Pasaran bukan tuhan; keuntungan bukan matlamat tertinggi; dan manusia bukan alat pengeluaran. Dalam ekonomi manusiawi, masyarakat berfungsi melalui kerjasama, solidariti, kebertanggungjawaban dan pengagihan kekayaan yang seimbang.
Ia mengembalikan manusia kepada peranan sebagai khalifah, bukan objek ekonomi yang mudah diganti.
Maqasid syariah turut memperkukuh idea ekonomi manusiawi. Pemeliharaan harta, akal, nyawa, keturunan dan agama adalah asas keadilan. Justeru, ekonomi mesti menyediakan pekerjaan bermaruah, akses kepada pendidikan, jaminan kesihatan, tempat tinggal yang layak, dan perlindungan sosial. Kebebasan individu tidak boleh mengatasi kewajipan sosial. Oleh itu, sistem riba, gaji murah, monopoli dan eksploitasi adalah bertentangan dengan prinsip maqasid.^7 Maka dakwah yang tidak mengangkat isu kezaliman ekonomi sebenarnya gagal memenuhi perintah agama untuk menegakkan keadilan.
Masjid dan institusi dakwah boleh memainkan peranan yang lebih jauh daripada penyampaian kuliah. Dalam sejarah Islam awal, masjid adalah pusat sosial dan pentadbiran. Pada hari ini, masjid boleh menjadi pusat data kemiskinan, pusat latihan keusahawanan kecil, pusat jaringan peniaga Muslim, dan pusat sokongan pekerja yang dizalimi. Jika masjid menjadi pusat ekonomi rakyat, dakwah akan kembali kepada roh asalnya: membina masyarakat, bukan sekadar menyampaikan pidato.^8
Begitu juga, ulama dan cendekiawan mesti bergerak sebagai arkitek perubahan struktur, bukan hanya sebagai penyampai hukum. Mereka harus menganalisis polisi ekonomi negara, menegur dasar yang menindas, dan menyokong reformasi ekonomi yang lebih adil. Selain itu, mereka perlu membimbing pembinaan institusi alternatif seperti koperasi, dana wakaf produktif, bank mikro bebas riba dan rangkaian perdagangan beretika. Dakwah yang membina struktur masyarakat adalah dakwah yang hidup.
Model ekonomi manusiawi boleh dilaksanakan melalui koperasi umat yang memfokus kepada pemilikan bersama, keuntungan yang diagih semula, dan keputusan yang dibuat secara kolektif.^9 Di samping itu, ekonomi solidariti bagi membela umat tertindas seperti Palestin dapat diwujudkan melalui rangkaian dagang yang menyokong produk mereka, dana pembangunan jangka panjang dan tekanan ekonomi terhadap rejim zalim. Wakaf produktif pula perlu digerakkan dengan pengurusan profesional untuk membiayai pendidikan, kesihatan dan pengeluaran makanan. Kesemua ini adalah instrumen dakwah.
Cabaran kepada agenda ini tidak kecil. Umat Islam menghadapi cabaran minda yang memisahkan agama daripada ekonomi. Mereka juga hidup dalam kerangka undang undang yang sering memihak kepada korporat besar. Selain itu, sistem global yang dikuasai kapitalisme pasaran bebas akan menentang sebarang usaha membina ekonomi alternatif. Namun dakwah Islam tidak pernah tunduk kepada arus kezaliman; ia sentiasa hadir sebagai suara pembebasan dan pembinaan tamadun.
Akhirnya, ekonomi manusiawi mesti dilihat sebagai mi‘raj dakwah. Dakwah yang benar benar membebaskan manusia tidak hanya memberi nasihat moral, tetapi mengubah struktur yang menyebabkan kemiskinan dan penderitaan. Selagi dakwah tidak menyentuh akar ekonomi yang menzalimi umat, derita akan berulang. Namun apabila dakwah memimpin pembentukan ekonomi manusiawi, umat mempunyai peluang untuk bangkit dengan bermaruah, adil dan sejahtera.

