AS-ISRAEL MESTI DIPERTANGGUNGJAWABKAN SEPENUHNYA ATAS PEMBUNUHAN KANAK-KANAK DI SEKOLAH MINAB, IRAN
March 14, 2026US-ISRAEL MUST BE HELD ACCOUNTABLE FOR THE MURDER OF CHILDREN
March 16, 2026KENYATAAN MEDIA MAPIM
Kuala Lumpur | 14 Mac 2026
Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) memandang dengan penuh kebimbangan perkembangan perang yang semakin memuncak di Iran ketika umat Islam di seluruh dunia sedang menjalani bulan suci Ramadhan.
Apa yang berlaku hari ini bukan sekadar konflik geopolitik biasa, tetapi satu ujian besar terhadap keamanan dunia dan kesatuan umat Islam.
Serangan ketenteraan yang dilancarkan oleh pakatan Amerika Syarikat dan Israel terhadap Republik Islam Iran telah mengakibatkan kemusnahan besar terhadap infrastruktur awam dan korban jiwa yang semakin meningkat.
Laporan awal menunjukkan bahawa lebih 1,300 orang telah terbunuh sejak perang bermula, termasuk ramai orang awam.
Antara tragedi paling memilukan ialah serangan peluru berpandu terhadap Sekolah Perempuan Shajareh Tayyebeh di Minab, Iran pada 28 Februari 2026 yang telah mengorbankan sekurang kurangnya 168 hingga 180 orang, kebanyakannya kanak kanak perempuan yang sedang berada di dalam kelas.
Serangan terhadap sekolah yang menjadi tempat pendidikan dan perlindungan kanak kanak merupakan satu pelanggaran serius terhadap undang undang kemanusiaan antarabangsa dan boleh dianggap sebagai jenayah perang. Masyarakat antarabangsa termasuk organisasi hak asasi manusia dan badan badan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu telah menyuarakan kebimbangan serius terhadap tragedi ini dan menuntut siasatan yang telus serta pertanggungjawaban terhadap pihak yang terlibat.
MAPIM menegaskan bahawa pembunuhan kanak kanak dan orang awam dalam peperangan tidak boleh diterima dalam apa jua keadaan. Lebih menyayat hati apabila tragedi ini berlaku dalam bulan Ramadhan, ketika umat Islam seharusnya berada dalam suasana ibadah dan kedamaian.
Apa yang sedang berlaku hari ini adalah ujian besar kepada kesatuan ummah. Dalam sejarah Islam, ketika kedaulatan sesebuah negara umat Islam dicabar oleh kuasa luar, umat Islam sentiasa diingatkan tentang tanggungjawab mempertahankan maruah, kedaulatan dan keadilan.
MAPIM menyeru seluruh dunia Islam supaya menunjukkan solidariti yang lebih kuat terhadap rakyat Iran yang kini menghadapi serangan ketenteraan yang semakin meningkat. Kesatuan ummah bukan sekadar slogan, tetapi satu keperluan strategik dalam menghadapi cabaran geopolitik yang semakin kompleks.
Pada masa yang sama, MAPIM menggesa masyarakat antarabangsa, khususnya Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu, supaya mengambil tindakan segera untuk menghentikan eskalasi perang ini, melindungi orang awam dan memastikan semua pihak mematuhi undang undang kemanusiaan antarabangsa.
Ramadhan sepatutnya menjadi bulan rahmah dan kedamaian. Namun hari ini ia berubah menjadi Ramadhan berdarah bagi rakyat Iran yang kehilangan ahli keluarga, anak anak dan orang tersayang akibat peperangan.
Dunia tidak boleh terus berdiam diri ketika nyawa manusia terus terkorban dan angka syahid semakin meningkat.
Mohd Azmi Abdul Hamid
Presiden
Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM)

