APAKAH PENDIRIAN ISLAM TERHADAP TINDAKAN TERORISME AS DAN ZIONIS ISRAEL MENYERANG IRAN?
March 16, 2026TAKZIAH ON THE MARTYRDOM OF ALI LARIJANI, SECRETARY OF THE SUPREME NATIONAL SECURITY COUNCIL
March 18, 2026Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM)
Space U8, Eco Ardence
Bukit Jelutong
40150 Shah Alam, Selangor
Malaysia
………………………………………
KENYATAAN MEDIA
Kuala Lumpur | 18 Mac 2026
Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) memandang serius perkembangan terkini situasi kemanusiaan di Gaza menjelang Aidilfitri 2026 yang kini berada pada tahap yang sangat membimbangkan.
Berdasarkan laporan terkini daripada agensi PBB dan organisasi kemanusiaan antarabangsa, persiapan Aidilfitri di Gaza hampir tidak wujud dalam bentuk normal.
Sebahagian besar rakyat masih tinggal di khemah sementara, sekolah atau kawasan terbuka tanpa kemudahan asas yang mencukupi.
Tiada persiapan pakaian raya, makanan istimewa mahupun sambutan keluarga seperti lazimnya.
Aktiviti Ramadan seperti solat tarawih dan iftar dilakukan dalam keadaan serba kekurangan dan tidak selamat. Hakikatnya, Aidilfitri di Gaza kini bukan lagi hari perayaan tetapi hari untuk terus bertahan hidup.
MAPIM menegaskan bahawa perang yang sedang berlaku antara Amerika Syarikat, Israel dan Iran telah memberi kesan langsung kepada Gaza. Penutupan lintasan sempadan serta sekatan bantuan telah menjejaskan bekalan makanan dan keperluan asas secara serius.
Walaupun fokus ketenteraan Israel beralih kepada konflik dengan Iran, serangan terhadap Gaza masih berterusan dan dalam beberapa keadaan semakin meningkat. Jika konflik ini berlanjutan sehingga bulan September seperti yang dibimbangi, krisis kemanusiaan di Gaza akan menjadi lebih parah, dengan bantuan antarabangsa semakin tidak konsisten dan harga makanan terus meningkat.
Situasi yang paling menyentuh adalah apabila umat Islam di Palestin dihalang daripada memasuki Masjid Al-Aqsa yang ditutup hampir sepanjang Ramadan.
Akibatnya, rakyat Palestin dijangka menunaikan solat Aidilfitri di jalan jalan, kawasan terbuka, khemah pelarian dan di luar tembok Baitul Maqdis seperti Bab Al Sahira.
Dari sudut bekalan makanan, keadaan adalah sangat kritikal. Laporan menunjukkan bekalan makanan segar hanya mampu bertahan beberapa hari hingga seminggu jika sekatan berterusan. Tepung untuk roti dianggarkan cukup sekitar 10 hari, manakala bantuan makanan di beberapa kawasan hanya mencukupi untuk tempoh sekitar dua minggu.
PBB sendiri mengakui bahawa stok makanan sedia ada tidak mencukupi walaupun untuk keperluan minimum, dan situasi digambarkan sebagai sangat kritikal.
Walaupun terdapat bantuan menjelang Aidilfitri daripada NGO antarabangsa dan agensi PBB, termasuk penyediaan makanan harian dan penghantaran bantuan, akses bantuan masih tidak konsisten. Banyak misi bantuan ditangguhkan atau dihalang, menyebabkan keperluan sebenar jauh melebihi bekalan yang diterima.
MAPIM menegaskan bahawa situasi ini merupakan satu kegagalan serius masyarakat antarabangsa dalam melindungi hak asasi manusia dan memastikan akses kemanusiaan yang berterusan.
Aidilfitri di Gaza hari ini menggambarkan realiti yang sangat menyayat hati: umat Islam disekat daripada masjid suci, dipaksa beribadah di jalanan dan berdepan ancaman kekurangan makanan yang boleh membawa kepada krisis kelaparan dalam masa terdekat.
MAPIM menyeru:
- Gencatan senjata segera bagi menghentikan penderitaan rakyat Gaza
- Pembukaan penuh laluan bantuan kemanusiaan tanpa sekatan
- Tindakan tegas oleh masyarakat antarabangsa untuk memastikan perlindungan orang awam
- Mobilisasi dunia Islam bagi mempertahankan hak rakyat Palestin dan kesucian Masjid Al Aqsa
Dunia tidak boleh terus berdiam diri ketika sebuah masyarakat dipaksa menyambut hari raya dalam keadaan kelaparan, ketakutan dan penindasan.
Mohd Azmi Abdul Hamid
Presiden
Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia

