Jejak Yang Tidak Hilang
February 17, 2026Redakan ketegangan politik dan hentikan budaya tuduh menuduh
February 18, 2026Jika Ini Ramadhan Ku Yang Terakhir
Inilah Azam Ku Untuk Ramadhan Kali Ini 1447
Jika ini Ramadhan ku yang terakhir,
aku tidak mahu ia berlalu seperti tahun yang sudah,
datang dengan harapan,
pergi tanpa perubahan.
Jika ini Ramadhan ku yang terakhir,
aku mahu sujudku lebih lama,
air mataku lebih jernih dan jujur,
dan hatiku lebih tunduk dan pasrah.
di hadapan Tuhan yang tidak pernah meninggalkan aku
walau aku sering lalai mengingatiNya.
Inilah azam ku,
untuk Ramadhan kali ini.
Aku mahu memaafkan sebelum meminta maaf,
melepaskan dendam sebelum ia membakar jiwa,
dan memeluk manusia
dengan kasih yang selama ini tertangguh.
Jika ini Ramadhan ku yang terakhir,
aku mahu Al Quran menjadi sahabatku,
bukan sekadar bacaan di bibir,
tetapi cahaya yang menuntun langkah
ketika dunia semakin gelap.
Aku mahu sedekahku lebih banyak daripada kiraan akal
kerana aku tahu
yang kembali kepadaku bukan wang dan harta bertimbun,
tetapi rahmat dan Redha Illahy yang ku pohon .
Aku mahu bangun malam
walau tubuh berat,
kerana mungkin satu malam itu
Allah sedang menunggu aku
untuk mengangkat doa yang sekian lama tertunda.
Jika ini Ramadhan ku yang terakhir,
aku mahu menjadi manusia yang lebih lembut,
lebih sabar,
lebih dekat kepada keluarga,
lebih peduli kepada yang derita.
Aku mahu meninggalkan dunia
dengan jejak kebaikan
yang terus hidup
walau jasadku telah pergi.
Ya Allah,
jika benar ini Ramadhan terakhirku,
jangan Engkau biarkan aku mensia-siakannya.
Ampunkan dosaku yang menggunung,
terimalah amal yang sedikit,
dan tulislah namaku
dalam kalangan hamba yang Engkau bebaskan
dari api neraka.
Ramadhan ini,
aku datang dengan harapan,
aku pulang dengan keampunan.
Dan jika aku masih diberi usia selepasnya,
biarlah aku keluar dari Ramadhan
sebagai manusia yang baru.
Inilah azam ku.
Azam seorang hamba
yang terlalu banyak kekurangan,
tetapi masih berharap
kepada kasih Tuhan.
Cikgu Azmi
Merbok
1 Ramadhan 1447H.

