MAPIM URGES UK, FRANCE, AND CANADA TO ACT IMMEDIATELY — NOT JUST EMPTY RHETORIC
May 20, 2025MAPIM DENGAN KERJASAMA IEASCO LANCAR KEMPEN DANA UNTUK BINA PUSAT PENDIDIKAN BAGI 1,000 ANAK YATIM DI GAZA
May 20, 2025Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Malaysian Consultative Council of Islamic Organizations) – MAPIM
Space U8 , Eco Mall , Bukit Jelutong , Shah Alam , Selangor Malaysia
azmiabdulhamid58@gmail.com
………………………………………
KENYATAAN MEDIA
20 Mei 2025
MAPIM DESAK UK, PERANCIS DAN KANADA BERTINDAK SERTAMERTA, JANGAN BERETORIK SEMATA-MATA
MAPIM (Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia) memandang serius kenyataan bersama oleh Perdana Menteri United Kingdom Keir Starmer, Presiden Perancis Emmanuel Macron dan Perdana Menteri Kanada Mark Carney yang mengancam akan mengenakan sekatan terhadap Israel jika serangan ke atas Gaza tidak dihentikan dan bantuan kemanusiaan masih dihalang.
MAPIM menyambut baik pengiktirafan awal terhadap pelanggaran undang-undang kemanusiaan antarabangsa oleh Israel, termasuk pemindahan paksa penduduk Gaza serta sekatan kejam terhadap bantuan kemanusiaan yang menyebabkan kebuluran besar-besaran. Namun kami dengan tegas menegaskan bahawa kenyataan ini tidak cukup. Dunia memerlukan tindakan konkrit, bukan retorik diplomatik yang berulang-ulang tanpa hasil.
- Sekatan Mesti Dilaksanakan Sekarang
Ancaman sekatan mesti diterjemahkan kepada tindakan serta-merta. Israel telah menyekat Gaza sepenuhnya sejak 2 Mac, menyebabkan penderitaan yang amat dahsyat dan kematian melebihi 53,000 jiwa. Sekiranya UK, Perancis dan Kanada benar-benar serius mempertahankan undang-undang antarabangsa, mereka harus segera:
Menggantung sebarang urus niaga senjata dan latihan ketenteraan dengan Israel.
Melaksanakan sekatan ekonomi dan diplomatik menyeluruh.
Mendakwa pemimpin rejim Israel yang bertanggungjawab atas jenayah perang di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).
- Jangan Jadikan Dua Negara Sebagai Alasan Melewatkan Keadilan
MAPIM menolak sebarang percubaan untuk melengahkan tindakan dengan alasan proses penyelesaian dua negara. Penyelesaian dua negara sudah terlalu lama dijadikan alasan untuk menangguhkan tekanan nyata terhadap Israel, sedangkan penjajahan dan penghapusan etnik terus berlaku secara sistematik.
- Perlindungan Media dan Hak Wartawan Gaza
Kami menyokong tuntutan Al Jazeera agar keselamatan wartawan di Gaza dijamin. Wartawan merupakan saksi utama jenayah perang ini. Serangan ke atas mereka adalah percubaan untuk menutup kebenaran dan memperkukuh kekebalan Israel daripada pertanggungjawaban.
- Masa untuk Dunia Bangkit Bersama
MAPIM menyeru semua negara dunia, terutama blok Selatan Global, OIC, ASEAN dan Kesatuan Afrika agar tidak bergantung kepada kekuatan Barat semata-mata. Negara-negara umat Islam dan negara membangun mesti bertindak secara kolektif menghantar bantuan, mengenakan sekatan dan mendesak campur tangan antarabangsa segera termasuk penghantaran pasukan pengaman untuk melindungi rakyat Gaza.
Cukuplah dengan kenyataan yang tidak disusuli tindakan. MAPIM menegaskan bahawa setiap hari kelewatan adalah satu pengkhianatan kepada kemanusiaan. Kami menuntut agar UK, Perancis dan Kanada tidak hanya membuat kenyataan media, tetapi menggerakkan seluruh jentera kuasa mereka untuk menghentikan jenayah perang ini sekarang juga.
MOHD AZMI ABDUL HAMID
Presiden MAPIM

